Dari sudut saintifik, bermain dapat membantu kanak-kanak dari segi pembelajaran serta perkembangan psikomotor mereka. Menurut kajian, dalam membenarkan kanak-kanak bermain dengan alatan permainan sangat penting untuk pembentukan fikiran dan pembangunan minda kanak-kanak.
Sebagai ibubapa, sebenarnya anda boleh menjadikan mainan sebagai alat bantuan untuk mengasah kemahira di samping meneroka bakat terpendam mereka. Permainan yang baik bukanlah sekadar menyeronokkan, malah ia juga memberi banyak manfaat untuk kanak-kanak.
Terdapat beberapa jenis permainan yang sesuai dan baik untuk perkembangan kanak-kanak.
- Ring Tower / Cup Tower / Tower Blocks
Sediakan beberapa blok berwarna dalam pelbagai saiz dan minta anak anda susun blok-blok tersebut mengikut saiz yang besar dari bawah. Dengan permainan ini, anak anda dapat mengenalpasti dan dapat membezakan terdapat pelbagai jenis saiz yang ada.
- Menyusun warna
Anda boleh menggunakan beberapa batang aiskrim yang sudah pun diwarnakan kepada beberapa warna kemudian minta anak anda mengasingkan batang-batang aiskrim tersebut kepada beberapa kumpulan mengikut warna yang sama.
- Menyusun manik
Satu lagi permainan menyusun warna iaitu dengan menggunakan manik tapi anak-anak mestilah diawasi dan dipantau oleh ibubapa. Sediakan beberapa bekas atau lukisan yang boleh anak anda asingkan manik-manik tersebut mengikut warna yang sama. Permainan ini juga boleh digantikan dengan butang baju untuk lebih menarik.
- Menyusun bentuk
Sediakan beberapa jenis kayu blok dalam pelbagai bentuk dan latih anak anda membina bentuk istana atau menara menggunakan kayu blok tersebut. Permainan ini juga dapat melatih anak anda mengenal pasti pelbagai jenis bentuk dan saiz yang ada.
- Penyepit baju
Anda boleh gunakan penyepit baju sebagai alat permainan kerana permainan ini boleh melatih anak anda untuk mengawal tangan, kemahiran motor dan kemahiran deria mereka. Kalau mahu lebih menarik, warnakan sepit baju tersebut kemudian minta anak anda sepitkan di tepi bekas mengikut warna yang sama.
- Mengira cengkerang laut
Sediakan beberapa blok nombor dan pinggan kemudian letakkan blok nombor di tepi pinggan tersebut dan minta anak anda isikan cengkerang tersebut di dalam pinggan mengikut nombor yang diberi. Permainan ini juga dapat melatih anak anda dalam kemahiran mengira dengan baik.
- Trek kereta
Anda boleh gunakan masking tape yang berwarna untuk nampak lebih menarik kemudian tampalkan di lantai rumah anda dengan pelbagai bentuk mengikut citarasa anda. Minta anak anda gerakkan sebanyak kereta mainan di atas trek tersebut.
- Permainan puzzle
Permainan puzzle juga dapat mengembangkan kemahiran anak anda untuk menyelesaikan masalah dan dapat membantu membina konsentrasi serta pembentukan ‘self regulation’. Adalah lebih baik mainkan puzzle dengan sebenar dan bukannya di dalam tablet atau Ipad. Ini kerana, kemahiran motor halus anak-anak juga boleh dipertingkatkan. Anda boleh gunakan pelbagai jenis bentuk dan gambar puzzle untuk menarik minat anak anda.
- Bermain bola
Anak-anak zaman sekarang perlu lebih banyak bergerak dan menghirup udara luar. Jadi, tidak menjadi masalah untuk membelikan anak anda bola. Banyak jenis dan saiz bola yang boleh dimainkan bersama mereka. Permainan ini juga dapat melatih mereka untuk menendang, melempar, melantunkan dan menangkap bola. Ini juga kerana, dapat menguji kecekapan dan kepantasan anak anda. Semua ini sangat baik untuk perkembangan fizikal mereka.
- Permainan papan
Dikenali sebagai permainan papan seperti dam haji, ular tangga, monopoly atau yang lebih moden seperti UNO. Ini adalah permainan yang sangat menghiburkan dan tanpa para ibu bapa sedar permainan ini menggalakkan anak-anak belajar menunggu giliran, mengira, dan memperkayakan kosa kata mereka. Permainan seperti ini juga sedikit sebanyak dapat membantu anak belajar berkomunikasi serta berunding dengan baik apabila berada di dalam berkumpulan.
Jadi, bermain sememangnya penting bagi kanak-kanak untuk memastikan mereka dapat berkembang dari segi sosial, emosi dan fizikal. Selain daripada bermain juga, anak-anak akan belajar dan peroleh banyak pengetahuan dalam setiap permainan tersebut.